Wednesday, March 28, 2007

Punca Masalah

Masalah-Masalah Sosial Yang Timbul

a) Kemerosotan Pencapaian Akademik

Banyak perkara yang boleh mempengaruhi tahap pencapaian akademik seseorang pelajar. Antaranya ialah tahap pendidikan ibu bapa, pekerjaan, pendapatan keluarga dan saiz sesebuah keluarga. Menurut Noraini (dalam Zarinah Arshat dan Rozumah Baharudin,1999), anak-anak dari keluarga yang mempunyai status sosioekonomi yang tinggi adalah lebih maju dalam persekolahan dan memperolehi lebih tinggi gred pencapaian berbanding anak-anak dari keluarga yang mempunyai status ekonomi yang rendah. Ini adalah kerana dalam keadaan status sosioekonomi yang tinggi, ibu bapa mampu dan boleh menyediakan kemudahan dan persekitaran yang selesa untuk perkembangan pelajaran yang cemerlang.

Ramai pengkaji sosial sama ada di dalam ataupun luar negara membuat kajian ke atas perkaitan di antara faktor latar belakang keluarga dengan tahap pencapaian akademik. Zainah dan Rozumah (1999) telah membuat kajian mengenai faktor-faktor yang membantu kepada pencapaian akademik para pelajar di sekitar Kuala Lumpur. Kajian ini melibatkan seramai 102 orang ibu bapa yang dipilih secara rawak. Anak-anak yang berumur di antara 10 hingga 11 tahun telah terpilih dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati jumlah tahun pendidikan yang diterima oleh ibu bapa mempunyai perkaitan yang signifikan dengan pencapaian akademik anak-anak. Ini bertepatan dengan kajian-kajian sebelumnya oleh Anuar (1990) yang menyatakan bahawa semakin tinggi tahap pendapatan ibu bapa, pencapaian anak-anak lebih baik.

Dari segi Teori Hirarki Maslow, didapati kefahaman kita terhadap perkara ini lebih jelas jika kita dapat mengaitkan keperluan manusia dan tahap-tahap pencapaian yang akan diperolehinya. Menurut Maslow, manusia didorong oleh keperluan-keperluan tertentu iaitu keperluan yang rendah atau bawah perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Ibu bapa yang berpendapatan rendah lebih banyak menumpukan usaha mereka untuk memenuhi keperluan asas seperti mendapatkan makanan dan tempat tinggal yang lebih selesa. Apabila keperluan-keperluan asas tidak dapat memenuhi kehendak mereka, isu-isu lain yang lebih penting sering diabaikan seperti pendidikan anak-anak dan tahap kesihatan keluarga. Jika dikaitkan dengan Teori Hirarki Maslow ini, ternyata pendidikan anak-anak tidak banyak diberikan perhatian oleh ibu bapa sehinggalah keluarga tersebut menikmati status ekonomi keluarga yang memuaskan. Adalah sukar bagi anak-anak untuk memberi perhatian yang lebih terhadap pelajaran sedangkan pada masa yang sama memikirkan apa yang perlu dimakan untuk mengelakkan kelaparan, tempat belajar yang tidak kondusif dan tidak ada duit untuk beli makanan dan minuman semasa ke sekolah. Keghairahan anak-anak yang masih muda ini untuk belajar hanya tinggal impian dan seterusnya kejayaan yang diingini tidak akan kesampaian.

b) Masalah Penyalahgunaan Dadah Di Kalangan Remaja

Penyalahgunaan dadah dewasa ini telah dianggap sebagai masalah sejagat. Daripada kes mencuri kasut di masjid, penceraian keluarga hinggalah sanggup membunuh ibu bapa sendiri, ia menjadi episod yang tiada penghujung. Setiap hari sama ada di media massa ataupun elektronik, berita mengenai dadah tidak pernah habis hingga ia menjadi imun kepada sesetengah orang. Jika kita menyelusuri statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia, kajian yang dilakukan oleh V. Ravaratnam dan C.P Spencer, 1976 (dalam Mahmood Nazar,1989) boleh dijadikan panduan. Menurut pengkaji ini, kebanyakan individu mula-mula mengambil dadah di Malaysia adalah mereka yang berumur 16 hingga 20 tahun. Statistik yang diperolehi juga menyatakan bahawa kebanyakan daripada mereka yang mula menggunakan dadah adalah di antara umur 10 hingga 20 tahun, satu penemuan yang jelas memberitahu kita bahawa remaja mula mengenal dadah seawal usia 10 tahun. Soalnya ialah, bagaimana masalah dadah ini boleh menembusi dan menjadi sebahagian daripada hidup remaja pada awal usia 10 tahun ? Dan itupun telah dikenal pasti 29 tahun yang lalu! Apakah pada tahun 2005 ini yang dianggap sebagai era teknologi maklumat dan digital, ditambah pula dengan kepesatan pembangunan negara, anak-anak yang berumur 7 tahun sudah pun mengenal dadah ? Tepuklah dada dan fikirkan kesannya.

Mahu ataupun tidak, faktor ekonomi keluarga dan perkembangan persekitaran turut membantu mewujudkan masalah dadah biarpun pada peringkat awal usia. Kajian ini telah mengenal pasti lapan sebab penagih terjebak dengan dadah iaitu perasaan ingin tahu, melupakan masalah, pengaruh kawan sebaya, membantu proses pembelajaran, untuk memahami diri sendiri, inginkan keseronokan, ingin bebas dan mahu memahami rasa yang berbeza. Daripada lapan sebab tersebut, separuh daripadanya boleh dikaitkan secara langsung dengan kekeluargaan yang terdiri daripada pelbagai alasan.

Jiwa remaja penuh dengan impian yang kadangkala boleh merosakkan masa hadapan. Suka mencuba, tidak mahu dikongkong dan ingin bebas sepenuhnya. Mereka akan cuba menunggang motosikal dengan laju, berambut “punk”, menghisap rokok seperti gaya seorang “hero”, berpasang-pasangan dan menyertai kumpulan rakan sebaya yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat setempat.

Masalah sosial yang paling utama ini, jika dirujuk kepada teori psikososial Erikson, beliau percaya bahawa konflik psikososial yang dihadapi oleh remaja hanyalah satu iaitu mencari identiti. Mereka akan melakukan semua perkara demi untuk memenuhi impian sendiri. Kemudaratan akan muncul dan bertukar menjadi tragedi sekiranya penerokaan diri ini tersalah sasar kepada penyalahgunaan dadah.

Kerapkali ibu bapa terperangkap di antara memenuhi kehendak mereka sendiri dengan keperluan perkembangan anak-anak remaja. Sekali lagi punca masalah ini tidak dapat tidak dikatakan berpunca daripada keluarga. Dadah tidak terikat hanya kepada keluarga berpendapatan rendah kerana ia boleh menjangkau sesiapa sahaja. Hanya kesedaran dan langkah-langkah pencegahan yang mampu membendung gejala ini berterusaan menjadi barah dalam masyarakat. Di sinilah peranan ibu bapa, pihak sekolah, jawatankuasa kampung atau taman seterusnya agensi-agensi penguatkuasa benar-benar diharapkan. Pengemblengan sumber-sumber ini dapat menangani penularan penyalahgunaan dadah untuk jangka masa panjang khususnya di kalangan remaja.

c) Keciciran Sekolah

Kanak-kanak yang tercicir dari sekolah (school dropout) adalah salah satu faktor langsung yang ada kaitannya dengan keupayaan keluarga berpendapatan rendah terhadap kepentingan pendidikan kepada anak-anak. Bagi kanak-kanak ini yang tercicir dan tidak lagi menyambung pelajaran mereka, kesan jangka panjang ialah kesukaran mencari pekerjaan terutama yang melibatkan kemahiran teknologi. Jika mendapat pekerjaan sekalipun, jumlah pendapatan yang akan diperolehi amat berkurangan berbanding pelajar yang memiliki diploma atau ijazah. Peluang mereka untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi amat tipis apatah lagi wujudnya persaingan yang sangat sengit dalam pasaran kerja pada masa kini. Golongan yang tercicir ini juga terpaksa berhadapan dengan kesusahan dan kesempitan hidup kerana tekanan ekonomi yang dihadapi. Kesan jangka pendek yang menjadi pilihan golongan ini ialah melibatkan diri dalam kegiatan anti sosial seperti mencuri, meragut, merompak, gangsterisme, mengedar dadah dan menyeluk saku. Kegiatan anti sosial ini akan lebih ketara apabila pendapatan yang diperolehi tidak konsisten dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Keciciran dari sekolah akan menjadi-jadi dan bertambah buruk apabila faktor kemiskinan dan hidup merempat meliliti kehidupan keluarga terutama di kawasan setinggan. Adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk memutuskan bahawa menamatkan pendidikan anak-anak akan mengurangkan beban keluarga kerana mereka boleh membantu mencari sumber pendapatan untuk keluarga. Maknanya di sini, beban mencari sumber kewangan telah ditanggung bersama-sama. Akhirnya, dengan kata lain, kanak-kanak yang tercicir ini akan menghadapi masa depan yang sama seperti yang dialami oleh ibu bapa mereka sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Strategik Sosial (2002) ke atas faktor-faktor yang mempengaruhi keciciran ini telah mengenal pasti lima penyebab utama iaitu kekeluargaan, sikap pada diri sendiri, sistem persekolahan, kesihatan dan persekitaran. Apa yang menarik daripada kajian ini ialah meletakkan faktor keluarga sebagai punca utama masalah keciciran yang berlaku dan sebab utama ialah pendapatan ekonomi keluarga yang rendah. Kehidupan yang miskin dan daif memaksa ibu bapa merelakan anak-anak mereka khususnya yang sulung berhenti sekolah dan mula mencari pendapatan sendiri.

Faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi minda dan perlakuan seseorang. Segolongan kanak-kanak lebih mudah mengikut apa yang berlaku di sekitar mereka tanpa mengetahui baik dan buruknya. Kajian Setinggan Lembah Klang oleh Yayasan Strategik Sosial pada 2001 menunjukkan kebanyakan pelajar tercicir dari sekolah berasal dari perkampungan setinggan. Apabila seseorang pelajar bergaul dengan rakan yang tercicir, besar kemungkinan pelajar itu pun turut tercicir dari sekolah. Secara psikologi, gerak geri dan perlakuan pelajar yang tercicir lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan dengannya. Dalam kes-kes tertentu, pelajar yang tercicir cuba mempengaruhi kawan-kawannya yang lain untuk menyertai tindakannya yang lebih menyeronokkan. Di samping itu kegelojohan pihak sekolah yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik di kalangan pelajar memberi tekanan ke atas pelajar yang lemah dalam pelajaran.

d) Keganasan Rumah Tangga

Keganasan rumahtangga bukan satu perkara yanag baru wujud di negara kita, malah telah lama. Cuma bentuknya yang berbeza dari generasi ke generasi. Ia termasuk penderaan atau penganiayaan terhadap suami, isteri atau anak-anak. Keganasan dalam rumahtangga dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang melibatkan serangan, sentuhan, gangguan, kekejaman mental dan fizikal, penganiayaan seksual atau apa-apa perbuatan pencerobohan atau aniaya (Roslee Hj Abbas, 1999).

Di antara punca terkuat berlakunya keganasan rumahtangga ini ialah tekanan hidup dan kaitannya dengan kedudukan kewangan keluarga yang tidak kukuh. Ada kalanya sikap kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri yang saling tidak memahami di antara satu sama lain. Sikap isteri yang suka meminta-minta akan menyebabkan jiwa suami akan merasa tertekan. Bagi mengatasi masalah ini, suami akan menggunakan kata-kata kesat, herdikan atau pukulan bagi mengatasi tekanan. Malahan keadaan akan menjadi lebih parah jika suami mengambil jalan singkat bagi mengatasi tekanan dengan meminum alkohol secara berlebihan dan pertimbangan akal yang rasional tidak mampu mengawal diri. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, ia akan mencetuskan pergaduhan atau konflik yang berkisar mengenai isu-isu kewangan, peranan isteri dan sebagainya.

Kesempitan wang dan tekanan hidup sedikit sebanyak akan memaksa keluarga mencari jalan singkat untuk keluar daripada masalah yang sementara tersebut. Meminjam wang daripada ceti haram atau “Along” dirasakan menjadi pilihan. Akibat tidak mampu membayar balik pinjaman, suami atau isteri takut untuk pulang ke rumah kerana bimbang akan “dikenakan” oleh samseng yang dihantar oleh Along. Bermulalah episod hitam dalam keluarga dengan suami menyalahkan isteri dan isteri menyalahkan tindakan suami. Mangsanya ialah anak-anak. Minda anak-anak yang telah dicemari dengan pertelingkahan, pergaduhan dan penderaan bapa ke atas ibu memberi mesej bahawa keganasan dalam rumahtangga adalah satu bentuk hukuman yang diiktiraf dan dibolehkan.

Bagi mengatasi masalah ini, keganasan rumahtangga ini wajar dibendung dan diatasi supaya sikap kasih sayang, toleransi dan hormat menghormati akan terus kekal mekar dalam keluarga. Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumahtangga 1994, diharap ia akan menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan kemelut sesebuah rumahtangga.

No comments: